Oleh Zainuddin Zain (hmetro.com.my)
http://www.hmetro.com.my/articles/HPAICbuktikejayaan/Article/
BANGUNAN HPA International Center (HPAIC) bernilai hampir RM60 juta di Shah Alam, Selangor yang akan dirasmikan Sabtu ini menjadi bukti bukan sesuatu yang mustahil perusahaan bermula di kampung membabitkan herba hutan boleh mencapai peringkat antarabangsa.
Pengarah Urusan HPA Industries Sdn Bhd (HPA), Ismail Ahmad mahu seramai 1,800 staf dan 600,000 ahli syarikat pelbagai peringkat syariah (MLMS) di negara ini dan 200,000 ahli di Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Kemboja melihat HPAIC sebagai kejayaan bersama.
“HPAIC yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam adalah satu sejarah dalam penubuhan HPA sejak 1998. Kita adalah MLM berasaskan syariah yang berjuang untuk pasaran produk halal dan suci kepada ummah.
“HPA pernah mengalami jatuh dan bangun dunia perniagaan, tetapi ahli kita terus komited merealisasikan kejayaan bagi membolehkan HPA berkembang di dalam dan luar negara,” katanya.
Mengenai majlis perasmian HPAIC yang disempurnakan beliau sendiri Sabtu ini, Ismail berkata, ia akan bermula pada jam 8 pagi dengan kehadiran ahli dari segenap pelosok negara dan wakil luar negara.
Menurutnya, wakil HPA dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei dan Kemboja akan menyampaikan ucapan masing-masing.
“Upacara perasmian akan dilaksanakan PJS (Pengarah Jati Setia) HPA yang juga kumpulan pemimpin syarikat kami dari semua negara sebagai menghargai pengorbanan mereka meletakkan HPA di tempat sekarang,” katanya.
Turut diadakan pembentangan kertas kerja oleh pengurusan HPA termasuk bertajuk Dari Cawangan Ke Pasar Raya oleh Ismail sendiri.
Selain Pasar Raya Halal HPA, HPAIC juga akan menempatkan pelbagai perniagaan HPA selain pejabat pelbagai jabatan.
Selain MLMS, HPA juga terkenal dengan produk jenama Radix termasuk rangkaian restoran Radix Fried Chicken (RFC), Radix Chicken House (RCH), Radix Oriental Cuisine (ROC), Radix Pizza House (RPH) dan Radix Bakery House (RBH).
Selain halal dan suci, produk syarikat menggunakan herba dan kaedah organik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan